Piramid, firaun 'eksport' terkenal Mesir.

Piramid, firaun 'eksport' terkenal Mesir.

Size
Price:

Read more

Piramid di Giza kira-kira 25 kilometer dari Kaherah antara tarikan paling popular

SEBUT saja Mesir, ramai yang terbayang atau teringatkan Piramid, Firaun dan Universiti Al-Azhar.

Piramid dan Firaun sejak sekian lama menjadi kebanggaan dan 'eksport' terkenal Mesir manakala Universiti Al-Azhar pula adalah institusi pengajian tinggi terulung yang banyak melahirkan ulama terkenal dunia.

Sejarah ketamadunan kuno yang lahir di Lembangan Sungai Nil di Kaherah itu menjadikan Mesir destinasi pelancongan yang menjadi tarikan sejak sekian lama.

Piramid di Giza adalah antara tarikan paling popular, hanya kira-kira 25 kilometer dari bandar raya Kaherah yang dianggarkan didiami 22 juta penduduk.

Giza menempatkan dua bahagian monumen dengan kumpulan pertama dikenali dengan tiga piramid utama iaitu Khufu, Khephren dan Menkaure serta Sphinx, patung singa berkepala manusia yang terletak berhampiran tiga piramid besar di situ.

Penulis di hadapan Muzium Kaherah.


Kumpulan kedua ialah tanah perkuburan untuk rakyat zaman Mesir kuno daripada pelbagai keturunan yang diperbuat daripada batu batan sedia ada di kawasan itu, berbanding batu kapur yang dibawa dari kawasan lembangan sungai dan digunakan untuk membina piramid untuk raja mereka.

Pengunjung bukan saja boleh memilih untuk menempuh panas terik matahari dan melawat semua piramid di Giza pada waktu siang, malah mereka juga boleh menonton pertunjukan cahaya dan bunyi yang diadakan saban malam di kompleks piramid itu.

Bagaimanapun, untuk mengetahui sejarah tamadun kuno dan pemerintahan bermula daripada pemerintahan firaun pertama dari 3050 sebelum Masihi hingga ke pemerintahan dinasti ke-30, 343 tahun sebelum Masihi iaitu sebelum Mesir jatuh ke tangan pemerintahan Parsi, pelancong perlu melawat Muzium Mesir yang terletak di Dataran Tahrir, Kaherah, yang menempatkan artifak pemerintahan Mesir kuno termasuk makam firaun Tutankhamun, satu-satunya makam firaun paling lengkap yang berjaya diselamatkan daripada pencari harta karun.

Pengunjung hanya perlu membayar LE20 atau RM12.50 untuk tiket masuk melihat pameran di situ, selain membayar LE40 (RM18.75) jika mahu melihat mumia firaun yang ditempatkan di muzium itu.

Bagi memahami sejarah Mesir kuno dan pemerintahan firaun, pengunjung boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong bertauliah di luar muzium yang akan menerangkan mengenai sejarah Mesir kuno kepada pengunjung.

Bagaimanapun, jika pengunjung mahu mendapatkan penerangan yang lebih baik serta tanpa kesukaran memahami penerangan pemandu pelancong di muzium berikutan loghat bahasa Inggeris yang agak sukar difahami, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan sama melalui ejen pelancongan.

Selain menempatkan makam dan keranda yang dibina sebelum satu-satu firaun mangkat, muzium itu juga menempatkan pelbagai jenis patung pemerintah Mesir zaman silam yang diukir dengan teliti dan masih dalam keadaan asal.

Ia juga menempatkan perkakasan, perhiasan diri dan peralatan yang diguna pakai masyarakat Mesir kuno. Secara keseluruhan, Mesir, sebagai sebuah negara Afrika, menjadi tumpuan negara sekitarnya.

Walaupun iklim padang pasir mungkin sedikit panas berbanding iklim Khatulistiwa dan Tropika, kedudukan Kaherah di tebing Sungai Nil menyebabkan cuaca panas seperti tidak terasa.

Seperti bandar raya lain, kehidupan malam di Mesir juga menyeronokkan. Pengunjung boleh menikmati tarian gelek di restoran seperti di hotel penginapan atau mana-mana restoran terkenal atau berjalan menyusuri kota lama dan melihat kehidupan dan kebudayaan penduduknya.

Kedudukannya di tebing Sungai Nil juga dimanfaatkan dengan restoran seperti bistro yang menjadi pilihan bukan saja rakyat tempatan malah pengunjung asing ke negara firaun itu.

Kebanyakan rakyat Mesir berbangga dengan tradisi dan kesenian nenek moyangnya dan tidak hairanlah kraftangan menjadi eksport utama negara itu.

Antara tempat yang boleh dikunjungi termasuk Rumah Harawi (Mansion Harawi) yang menawarkan pengalaman menarik termasuk melihat sendiri seni bina zaman dulu rumah orang berada di Mesir, lengkap dengan harem atau bilik yang terlindung untuk membolehkan kaum

wanita menonton persembahan atau sebarang acara yang diadakan di laman di perkarangan rumah, tanpa dilihat lelaki bukan muhrimnya.

Di rumah itu juga seni muzik Mesir diperdengarkan, ukiran lama dipulihara dan kraftangan Mesir dihasilkan, untuk mengekalkan kesenian masyarakat itu.

Pengunjung yang gemar membeli-belah pula, boleh mengunjungi bazar El Fishawy yang terletak kira-kira satu kilometer dari Rumah Harawi.

Bazar yang terkenal dengan pelbagai kraftangan, makanan, pakaian, perhiasan diri dan permaidani serta pelbagai perkakasan lain itu dibuka sepanjang hari dan menjadi tumpuan bukan saja pelancong asing, malah penduduk tempatan membeli-belah.

Peniaga yang ramah, terus memanggil sebaik melihat wajah penulis yang dikenali berasal dari Malaysia, cuba menjual pelbagai barangan pada harga yang perlu ditawar jika tidak mahu tertipu.

Di tengah-tengah selirat laluan dan jualan itu terdapat beberapa kedai kopi dan restoran termasuk Kedai Kopi Nagiub Mahfouz, penerima Hadiah Nobel untuk kesusasteraan untuk 1988 yang berasal dari Mesir.

Negara yang terkenal juga dengan produk pertaniannya itu kaya dengan pelbagai jenis buah-buahan yang selalunya kita peroleh dalam bentuk kering seperti kurma, buah fig dan pic, selain buah mangga yang dihidangkan sebagai jus mangga yang pekat, manis dan menyegarkan.

Berikutan kedudukan Mesir di antara Afrika, Eropah dan Timur tengah, makanannya mempunyai pengaruh Meditterranean, Timur Tengah dan Afrika dengan daging menjadi hidangan utama.

Taman Azhar yang terletak di tengah-tengah bandar raya lama Kaherah menjadi tarikan pelancong dengan taman yang membolehkan pengunjung mengimbas semula taman pada zaman pemerintahan Mesir kuno. Di taman ini juga terdapat Tembok Ayyubid yang dibina pemerintah Mesir, Salah El Din atau Saladdin, lebih 800 tahun lalu.

INFO: Mesir

* Terletak di Utara Benua Afrika dan bersempadan dengan Laut Meditterranean, antara Libya dan Tebing Gaza dan Laut Merah di utara Sudan.

* Berkeluasan 1,001,450 km persegi membabitkan kawasan daratan seluas 995,450 km persegi dan kawasan lembangan sungai dan perairan seluas 6,000 km persegi.

* Beriklim padang pasir yang kering sepanjang musim panas.

* Mineral dan sumber asli termasuk petroleum, gas asli dan bijih besi.

* Agama utama ialah Islam dan sebahagian kecil rakyatnya adalah penganut agama Kristian Koptik (Coptic).

* Mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 28 Februari 1922 tetapi mengalami revolusi pada 23 Julai 1952.

* Populasi mencecah 80 juta penduduk dan kira-kira 22 juta penduduk bertumpu di Kaherah.

* Menggunakan mata wang Egyptian Pound (LE) yang ketika ini mempunyai nilai lebih rendah berbanding Ringgit Malaysia.

* Selain bahasa Arab, kebanyakan penduduk tahu berbahasa Inggeris dan Perancis.

* Makanan tidak menjadi masalah kerana kebanyakan makanan adalah halal.



Bagaimana ke sana?

Berikutan Malaysia Airlines tidak lagi mendarat di Lapangan Terbang Kaherah, pengunjung dari negara ini boleh memilih penerbangan terus tiga kali seminggu dengan Egypt Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Cairo / Kaherah.

0 Reviews

Contact Form

Name

Email *

Message *