Muscat :Bandar raya indah dan selamat.

Muscat :Bandar raya indah dan selamat.

Size
Price:

Read more

Duta Besar Amerika Syarikat boleh bersiar-siar bebas di ibu kota Oman tanpa seorang pun pengawal pengiring

OMAN bukan destinasi utama bagi rakyat Malaysia untuk bercuti, membeli belah, menyambung pengajian atau berniaga.

Justeru, tidak mustahil bila menyebut saja nama negara itu, tidak ramai yang mengetahui lokasinya atau mengenalinya secara mendalam berbanding destinasi lain di Asia Barat.

Tanggapan pertama, tiada apa yang istimewa mengenai Oman sehingga penulis tidak begitu teruja untuk melawat negara Arab itu apabila ditugaskan ke sana atas undangan Kementerian Penerangan Oman.

Bagaimanapun, selepas mengunjungi negara itu, terutama ibu kota Muscat dan bandar Salalah selama seminggu baru-baru ini, membuka minda penulis bahawa Oman sebenarnya unik dan berbeza dengan negara lain.

Keistimewaannya bukan kerana kaya dengan sumber minyak dan gas, sebaliknya kejayaannya mengimbangi nilai tradisi budaya Arab dan ajaran Islam dalam kemajuan negara yang mengamalkan dasar pemodenan dan keterbukaan.

Seni bina Masjid Sultan Gaboos menjadi tarikan pelancong tempatan dan asing.

Hasilnya, Oman antara negara yang dikategorikan selamat dikunjungi, aman damai dan bersih sehinggakan Duta Besar Amerika Syarikat ke Oman boleh bersiar-siar bebas di Muscat tanpa seorang pun pengawal pengiring.

Sukar juga melihat sampah sarap bertaburan walaupun di pasar basah, remaja melepak dan berpakaian menjolok mata. Kebanyakan rakyatnya berpakaian tradisi menutup aurat, baik lelaki mahupun perempuan sama ada untuk bersiar-siar atau bekerja.

Bagi yang suka menikmati kehidupan kota raya yang hiruk pikuk, dengan bangunan tersergam tinggi, yang menjanjikan hiburan malam mengasyikkan seperti bandar raya utama dunia lain, Oman bukanlah pilihan yang tepat.

Hanya mereka yang suka menikmati dan menghayati keindahan alam semula jadi yang mendamaikan saja menemuinya di Oman, kerana buminya kaya dengan pemandangan menarik.

Gunung ganangnya terbentang luas, hamparan gurun gersang, unta berkeliaran, wadi menghijau dengan tanaman pokok kurma, laut membiru dengan hasil perikanan lumayan, sungai jernih dan tinggalan sejarah nabi yang dijaga rapi.

Dari jauh juga kelihatan bangunan moden dan lama yang nampak sekata dengan warna sama iaitu putih dan warna tanah coklat lembut walaupun rumah itu rumah mewah kepunyaan golongan kaya raya.

Rakyatnya yang 99.9 peratus beragama Islam juga ramah tamah dan lemah lembut budi bicara dan perbuatan, menepis anggapan rakyat benua Arab terdiri dari mereka yang bertingkah laku kasar dan ganas.

Golongan wanita juga diiktiraf, hak mereka sama dengan kaum lelaki seperti di Malaysia sama ada dari lapangan politik, ekonomi dan sosial.

Mereka diberi peluang untuk mengundi, menjawat jawatan tinggi termasuk menteri kabinet dan memandu kenderaan tidak seperti di sesetengah negara Arab lain yang menyimpan kaum wanita di rumah.

Dengan jumlah populasi penduduk yang rendah sekitar tiga juta berbanding keluasan muka buminya yang dianggap kedua terbesar di rantau Arab, Oman sesuai dijadikan destinasi untuk berehat bersama keluarga selain mencari rezeki.

Ia kerana gaji di negara itu tinggi walaupun bekerja sebagai buruh, pelayan hotel atau pembantu rumah.

Tidak hairanlah, negara itu menjadi lubuk rezeki kepada ramai rakyat dari negara membangun seperti Indonesia, Filipina, India, Pakistan dan Bangladesh.

Mereka bukan saja terdiri daripada pekerja kelas bawahan yang terbabit dalam sektor yang tidak diminati rakyat Oman seperti pembinaan, pembersihan atau perhotelan, malah turut menguasai ekonomi negara dengan membabitkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan seperti hartanah, perhotelan dan pusat beli-belah.

Kebanjiran rakyat asing yang hampir separuh dari penduduk Oman ini, tidak sesekali mengancam kehidupan rakyat tempatan.

Rakyat Oman masih hidup mewah dengan menerima upah tinggi walaupun berpangkat rendah di sektor awam. Kebanyakan mereka mampu memiliki kereta mewah, dengan jenama yang tidak banyak dipasarkan di Malaysia.

Malah, rakyat pedalaman termasuk orang Badwi yang tinggal di padang pasir juga memiliki kereta besar seperti pacuan empat roda bagi memudahkan pergerakan selain tinggal di rumah batu sekurang-kurangnya rumah dua tingkat.

Kekayaan mereka itu hasil keprihatinan pemerintah yang ditunjangi Sultan Qaboos Said yang jelas tidak meminggirkan rakyat jelata di sebalik kemewahan hasil bumi negaranya.

Rakyat tidak dikenakan sebarang cukai pendapatan, pendidikan dan perubatan diberi percuma malah kos sara hidup warga tua kurang kemampuan juga ditanggung sepenuhnya sehingga tiada keperluan diwujudkan rumah kebajikan.

Ini kerana sekiranya tiada saudara mara terdekat, keluarga jauh dipertanggungjawab menjaga warga tua ini. Kualiti hidup mereka juga tinggi, masa bersama keluarga banyak kerana waktu kerja sektor kerajaan hanya sekitar jam 7.30 pagi hingga 2.30 petang.

Inilah antara keistimewaan Oman yang tidak terdapat di negara lain. Oman mempunyai kemudahan prasarana moden dan canggih, seperti lebuh raya besar tanpa tol, namun pada masa sama rakyatnya secara rela dan bangga mengekalkan nilai tradisi dan ajaran Islam.

FAKTA: Oman

# Ibu negara: Muscat.
# Sembilan Wilayah: Muscat, Al Dakhiliyah, Al Batinah, Al Wusta, Al Sharqiyah, Al Dhahirah, Musandam, Dhofar dan Al Buraimi.
# Ketua negara: Sultan Qaboos Said.
# Agama rasmi: Islam.
# Keluasan: 309,500 kilometer persegi.
# Jumlah penduduk: 3 juta.
# Bahasa Rasmi: Arab, bahasa Inggeris turut digunakan secara meluas.
# Mata Wang: Omani Rial(OR).
# Kadar Tukaran Asing: RM1 = OR10 atau AS$1 = 0.384OR.
# Industri Utama: Minyak, gas asli, pertanian dan perikanan.

# Rakyat asing: India dianggarkan 650,000 orang, Bangladesh (220,000 orang), Pakistan (150,000 orang), Sri Lanka (70,000 orang); Filipina (45,000 orang), Indonesia (20,000 orang).

# Rakyat Malaysia yang menetap di sana hanya sekitar 500 orang dan kebanyakan bekerja dalam bidang profesional dengan syarikat perkapalan dan petroleum.

# Iklim : Berbeza mengikut tempat, di kawasan pantai cuaca panas tetapi di kawasan pedalaman cuaca panas dan kering. Pada musim sejuk, suhu lazimnya 15 darjah Celsius, manakala musim panas suhu boleh mencecah sehingga 38

darjah Celsius di Muscat dan setinggi 54 darjah Celsius di padang pasir Waktu paling sesuai melawat Oman : Antara Oktober dan April (cuaca tidak terlalu panas)

# Lokasi tarikan pelancong: Tempat membeli-belah (Muttrah Souq, Nizwa Souq, Haffa Souq, Sinaw Souq); pusat beli-belah (Kompleks Al Araimi, Kompleks Al Harthy dan Plaza Al Khamis); muzium (Bait Adam, Bait Al Baranda, Bait Al Muzna, Bait Al Zubair; kubu (Al Hazm, Jabrin Khasab, Bahla).

Bagaimana ke sana?
Menaiki penerbangan Etihad Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan transit di Lapangan Terbang Abu Dhabi sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat (MIA), Oman atau Oman Air dari MIA ke Salalah atau dari Dubai menggunakan Oman Air, Kuwait Airways dan Saudi Arabian Airlines, dari Kuwaits bersama Kuwaits Airways dan dari Riyadh (Saudi Arabian Airlines).

0 Reviews

Contact Form

Name

Email *

Message *