Misteri UFO di Britain

Misteri UFO di Britain

Size
Price:

Read more

London umum butiran penemuan objek tidak dikenali yang disaksikan penduduk

ANTARA misteri yang masih belum terlerai sehingga ke hari ini adalah kewujudan objek tidak dikenali atau UFO.

Malah, dakwaan kemunculan kelibatnya dalam bentuk piring terbang, terus dilaporkan hampir setiap tahun di serata dunia, khususnya di negara Barat yang sememangnya mempunyai kumpulan pemantau aktiviti ini.

Terbaru, kerajaan Britain minggu lalu mengumumkan dokumen rasmi 1,000 muka surat yang mencatatkan kejadian UFO bagi tempoh 1987 hingga 1993. Dokumen yang sebelum ini disenaraikan sebagai sulit, diumumkan kepada orang awam di Arkib Negara Britain, di Kew, bagi menolak dakwaan kononnya kerajaan mahu merahsiakan penemuan aktiviti UFO yang mencurigakan di negara itu.

Tindakan kerajaan Britain itu hanya membangkitkan semula teka teki mengenai kewujudan UFO ini, bukan saja oleh rakyatnya malah penduduk negara lain yang sememangnya berminat dengan misteri di sebalik kewujudan piring terbang serta makhluk yang mengemudi pesawat berkenaan.

Persoalannya apakah benar UFO ini wujud? Soalan itu sukar dijawab tetapi sekurang-kurangnya beberapa catatan didedahkan kerajaan Britain itu, boleh dijadikan alasan yang mengaitkan kewujudan UFO itu.

Catatan kejadian UFO yang dikesan itu turut membabitkan beberapa penemuan yang mendapat publisiti meluas media, tetapi belum diselesaikan sehingga ke hari ini. Biarpun kebanyakannya disenaraikan sebagai ‘misteri akibat fenomena semula jadi’ tetapi ada beberapa insiden didakwa mencetuskan kebimbangan kepada Kementerian Pertahanan Britain yang bertindak melancarkan siasatannya sendiri.

Ini termasuk satu insiden yang berlaku pada 1990 di Scotland yang mana ramai saksi mendakwa melihat piring terbang serta kehadiran beberapa pesawat tentera. Malah imej yang dilihat sekurang-kurangnya tiga lelaki itu sempat dirakam akhbar Daily Record yang mengemukakannya kepada kementerian berkenaan. Saksi mendakwa ia berlegar-legar kira-kira 10 minit pada waktu siang dekat kawasan Calvine, utara Pitlochry pada 4 Ogos, 1994.

Pada waktu sama, kata saksi, beberapa jet pejuang tentera turut kelihatan melintasi kawasan itu sebelum tiba-tiba hilang. Hasil analisis gambar itu mengenal pasti pesawat berkenaan sebagai jet pejuang Harier milik tentera udara. Namun, anehnya, ia tidak beroperasi pada waktu kejadian.

Misteri itu menyebabkan Menteri Pertahanan ketika itu, Sir Archie Hamilton menyuarakan kebimbangan kerana membabitkan bukti jet Harier yang kelihatan jelas dalam negatif filem yang dirakam saksi. Setahun selepas kejadian, kementerian mengarahkan pakar menghasilkan lakaran UFO yang menepati gambaran saksi berkenaan. Bagaimanapun, usaha itu dilakukan secara rahsia dan hanya membabitkan pegawai tertentu atas alasan ia menyentuh perkara amat sensitif.

Satu lagi kejadian yang disiasat kerajaan, membabitkan dakwaan seorang wanita kononnya beliau dihampiri seorang makhluk asing menyerupai manusia ketika melalui kawasan sunyi di pedalaman Norfolk. Mereka sempat bersembang selama 10 minit. Wanita yang dirahsiakan identitinya itu disiasat pihak berkuasa yang menyenaraikan kes itu sebagai antara kes ‘luar biasa.’

Kes lain UFO yang mendapat perhatian kerajaan Britain berlaku pada 31 Mac 1993 apabila 100 penduduk di kawasan West Country dan Ireland mendakwa melihat dua objek tidak dikenali yang mengeluarkan cahaya terang, merentasi langit malam. Kejadian itu juga, seperti kes lain, masih menjadi misteri yang belum terungkai sehingga ke hari ini.

Apa yang pasti, kes yang diumumkan kerajaan Britain minggu lalu bukanlah catatan kecil misteri UFO yang belum terjawab, tetapi membuktikan kemunculannya masih lagi wujud, selaras peredaran masa.

Hakikatnya, memang sukar difahami bagaimana kecanggihan teknologi masa kini masih sukar menelah atau merungkai misteri di sebalik piring terbang atau makhluk asing pelbagai rupa seperti didakwa saksi.

Selagi misteri itu belum terjawab, selagi itulah kita akan terus dipaparkan catatan kejadian UFO yang terus menarik perhatian ramai yang mahukan jawapan kesahihan kewujudan makhluk asing itu.

INFO: UFO

# Objek terbang yang tidak dikenali berlaku hampir di seluruh dunia.

# Saksi yang melihatnya mengenal pasti objek itu berupa piring terbang dan kapal angkasa dengan pelbagai reka bentuk, malah ada yang mendakwa terserempak dengan makhluk asing.

# Ada pihak berpendapat sebahagian besar kejadian UFO adalah satu imaginasi seperti diakui pakar Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) yang menghentikan penyelidikan pada 1993 kerana menganggap 90 peratus kejadian UFO tidak benar.

0 Reviews

Contact Form

Name

Email *

Message *