Jeju : Kaya anugerah alam...

Jeju : Kaya anugerah alam...

Size
Price:

Read more

Keindahan Jeju buatkan pengunjung berasakan berada di kepulauan Hawaii


PULAU berbatu, Jeju terkenal di kalangan warga Korea dan Jepun, malah dianggap sebagai 'Pulau Tuhan' kerana dipenuhi ukiran batuan gunung berapi beragam bentuk.

Semuanya tercetus hasil kreativiti penduduk Jeju yang ingin membina budaya dan warisan tersendiri, lain daripada tanah besar Korea Selatan. Atifak sejarah paling terkenal adalah ‘ubiquitous harubang’ atau 'grandfather stone' yang diukir di atas blok batu lahar gunung berapi.

Pulau yang bertulang belakang banjaran gunung berapi Halla-san itu juga mempunyai keunikan tersendiri sehingga diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Korea Selatan.

Di Pulau Jeju, cuaca sentiasa panas lembap dengan iklim sederhana membuatkan berada di sana seperti berada di kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat. Mungkin faktor itu menyebabkan Pulau Jeju menjadi pilihan di kalangan pengantin baru yang ingin menikmati detik indah berbulan madu.

Pulau Jeju turut dipanggil Jeju-do. Di dalam bahasa Korea ‘do’ bermaksud pulau dan daerah bertepatan dengan lokasi Jeju itu sebagai daerah di sebuah pulau yang besar.


Menurut sejarah, Pulau Jeju terletak di Selat Korea di daerah Jeollanam-do sebelum berpisah menjadi daerah lain pada 1946. Ia pernah juga dikenali dengan pelbagai nama antaranya Doi, Dongyeongju, Juho, Tammora, Takra, Tamra.

Bagaimanapun, sebelum berlaku peralihan kuasa pada 2006, Jeju mula digelar Cheju. Malah, sebutan betul Jeju adalah ‘che-ju’ tapi warga Korea mendapati ramai pelancong asing senang menyebut Jeju sebagai ‘je-ju’.

Jika anda ingin ke Pulau Jeju, usah risau dengan masalah bahasa kerana kebanyakan pemandu teksinya mahir berbahasa Inggeris, Jepun dan Mandarin. Bagaimanapun, tidak salah jika anda tahu beberapa patah perkataan Korea bagi mengelakkan diri daripada ditipu.

Adat melancong ke tempat orang, sudah tentu anda mahu merancang perjalanan aktiviti. Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak seperti mendaki gunung, inilah antara lokasi yang patut dikunjungi.

Panorama indah ciptaan Tuhan.


Selain menikmati keindahan pemandangan yang menakjubkan di Taman Negara Halla-san, pengunjung boleh mendaki Halla-san, puncak gunung berapi setinggi 1,950 meter yang menjadi gunung tertinggi di Korea Selatan.

Tempoh beristirahat juga boleh diisi sama ada dengan berbaring di tepian pantai sambil menikmati sang matahari terbit atau terbenam atau mungkin anda akan mempunyai hobi baru ketika berada di sana, iaitu merakam gambar.

Bagaimanapun, jika keindahan suasana tidak mampu memberikan kegirangan di hati, apa kata jika anda berkunjung ke Pulau Jeju ketika berlangsungnya Festival Api Jeongwol Daeboreum.

Festival itu diadakan setiap tahun ketika kedatangan musim sejuk yang mana pembakaran jerami secara tradisi dibuat bertujuan untuk memusnahkan serangga perosak. Kebanyakan mereka menganggap api yang marak menjulang umpama muntahan lahar dari Halla-san.

Selain tarikan pelancongan, Pulau Jeju juga terkenal sebagai lokasi untuk kaki pancing. Jika berkesempatan mengunjungi pasar basah di sana, anda boleh membeli pelbagai spesies ikan segar, sotong, gamat dan bermacam jenis hidupan laut yang jarang ditemui.

Beriklim tropika menjadikan tanah di Pulau Jeju sebagai kawasan subur dengan hasil pertanian. Nanas dan limau tangerin serta madu yang diperoleh daripada bunga-bungaan tempatan memberikan suasana yang begitu berbeza. Pulau ini juga terkenal dengan cendawan Shitake dan pokok kaktusnya.

INFO: Jeju

# Selain menyaksikan Festival Api Jeju, pelancong boleh mendaki gunung, menunggang kuda dan berendam di air terjun atau melihat batuan purba pelbagai bentuk.

# Di Taman Hallim boleh meneroka gua bawah tanah dan melihat Taman Bonsai yang berusia lebih 150 tahun.

# Gua Manjanggul sepanjang 1 kilometer dan setinggi 23 meter terbentuk daripada aliran lahar gunung berapi.

# Gua Manjanggul terlalu sejuk dan air gua sentiasa menitik dari siling gua.

# Makanan di Jeju agak masin kerana suhunya yang agak panas. Di Jeju juga jarang disediakan Kimchi ketika musim sejuk kerana cuaca musim sejuk tidak terlalu sejuk.

Bagaimana ke sana?

Hampir semua bandar di Korea mempunyai penerbangan terus ke Jeju. Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju menyediakan 12 penerbangan domestik dan enam penerbangan antarabangsa setiap hari. Lapangan terbang itu mampu menampung kehadiran 7.64 juta penumpang setiap tahun.

Untuk mendapat maklumat lanjut, hubungi Organisasi Pelancongan Korea di Kuala Lumpur melalui talian 03-20722515

0 Reviews

Contact Form

Name

Email *

Message *